Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tindakan 12 lelaki menunggang motosikal sambil menunjukkan aksi berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Opsi Samseng Jalanan di dua lokasi, awal pagi tadi.

Operasi dilakukan bermula 12 tengah malam di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, selepas menerima maklumat.

Seramai dua pegawai dan 14 anggota Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur terbabit dalam operasi diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod itu.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam serbuan pertama di Lebuhraya DUKE, pihaknya menahan tujuh lelaki berusia 17 hingga 33 tahun.

"Mereka didapati menunggang motosikal secara berbahaya dengan menunjukkan pelbagai aksi termasuk roket, zig zag, terbang (fly), superman dan bersaing sesama sendiri.

"Siasatan awal mendapati suspek terbabit bekerja penghantar makanan, pekerja am, pemandu peribadi dan pekerja restoran selain menganggur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

PENUNGGANG motosikal menunjukkan aksi berbahaya dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya AKLEH dan Lebuhraya DUKE. FOTO Ihsan Polis Trafik Kuala Lumpur
PENUNGGANG motosikal menunjukkan aksi berbahaya dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya AKLEH dan Lebuhraya DUKE. FOTO Ihsan Polis Trafik Kuala Lumpur

Sarifudin berkata, pihak polis turut menahan lima lelaki berusia 17 hingga 27 tahun yang menunggang motosikal dengan menunjukkan aksi berbahaya di Lebuhraya AKLEH, di sini.

"Dalam operasi ini, kami turut menahan seorang lelaki berusia 15 tahun yang menunggang motosikal Honda Wave menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Kami turut mengeluarkan 10 saman dalam operasi berkenaan atas pelbagai kesalahan termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos dan lain-lain.

"Semua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 42 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, pihaknya akan melakukan operasi berkenaan dari semasa ke semasa dalam usaha menyekat aktiviti samseng jalanan di ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 2:10 PM