Penternak ikan sangkar di Kampung Pantai Ali, bergotong-royong memperkemaskan sangkar ikan bagi menghadapi banjir. FOTO NAZDY HARUN
Penternak ikan sangkar di Kampung Pantai Ali, bergotong-royong memperkemaskan sangkar ikan bagi menghadapi banjir. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun

Kuala Berang: Bagi mengurangkan impak kerosakan apabila berlakunya banjir, sekumpulan penternakan ikan sangkar mengambil langkah awal dengan mengikat 250 sangkar dengan kemas sebelum menolak jauh dari tebing sungai.

Penternak, Naim Man Mohd Abdullah, 30, berkata, kerja menguatkan ikatan antara sangkar dilakukan berperingkat secara berterusan.

Menurutnya, saban tahun rutin mengikat sangkar dengan kemas antara satu sama lain akan dilakukan terutama apabila tibanya musim tengkujuh.

Katanya, sangkar yang dikemaskan dapat mengurangkan impak seperti dihanyutkan arus sungai yang deras apabila berlakunya banjir.

"Sangkar-sangkar ini kita akan bawa jauh sedikit dari tebing kerana apabila berlaku banjir arus sungai akan menolak sangkar berkenaan ke arah tebing.

"Kalau kedudukan sangkar terletak berhampiran tebing, kebarangkalian sangkar untuk hanyut ke darat amat tinggi dan menyukarkan pemilik untuk membawa turun kembali ke dalam sungai selepas tamatnya musim tengkujuh.

"Justeru, setiap masa penternak perlu peka dan akan ke sungai bagi memantau pergerakan sangkar," katanya yang pernah mengalami kerugian akibat bencana banjir.

Menurutnya, tahun lalu kerja memperkemaskan sangkar berlarutan hingga tiga bulan dan saban tahun rutin itu perlu dilakukan bagi mengurangkan kerugian akibat bencana banjir.

Rakannya, Ramli Hassan, 58, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM30,000 akibat banjir pada tahun lalu selepas tujuh sangkar mengalami kerosakan dan ikan yang diternak mati serta terlepas ke sungai.

"Oleh itu, bagi mengurangkan kesan akibat bencana alam itu, kami terpaksa membuat persiapan awal.

"Sekarang sudah masuk musim peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang mengakibatkan banjir selain cuaca juga tidak menentu," katanya.

Sementara itu, Ketua kelompok Penternakan Ikan Sangkar Kampung Pantai Ali dekat sini, Zakaria Ismail, 66, berkata, seramai 27 peserta terbabit menternak ikan air tawar di kawasan itu dengan jumlah 250 buah sangkar.

Menurutnya, sangkar yang terletak di tebing Sungai Telemong itu biasanya akan berdepan arus deras dan peningkatan air sungai yang tinggi apabila tiba musim banjir.

"Oleh itu, penternak secara bergotong-royong mengambil langkah dengan mengikat struktur sangkar bagi mengelak ia dihanyutkan arus deras selain pergerakan sangkar dari bahagian hulu menghentam sangkar yang berada di hilir.

"Selain itu, bongkah atau tunggul kayu juga mampu merosakkan struktur sangkar sekiranya tidak diikat dengan kemas," katanya yang menternak ikan sangkar di tebing sungai itu sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, kerja mengikat sangkar sudah dilakukan sejak beberapa hari lalu dan dijangka mengambil masa beberapa hari lagi untuk disiapkan bagi memastikan struktur sangkar mampu menerima impak apabila berlakunya banjir.

Katanya, banjir besar akhir Februari tahun lalu lalu mengakibatkan kerugian keseluruhan peserta kelompok mencecah RM1.5 juta dan bencana itu dianggap paling teruk pernah berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 10:49 AM