Nazdy Harun


Kuala Berang: Penternak ikan sangkar berkelompok di Kampung Pantai Pak Ali, di sini, mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memasang cerucuk untuk menjamin ketahanan sangkar daripada rosak dirempuh balak hanyut ketika musim tengkujuh.

“Saban tahun, kami akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak berlaku kerugian besar apabila tibanya musim tengkujuh,” kata Zakaria Ismail, 60, ketua penternak ikan sangkar berkelompok terbabit.

Menurutnya, kawasan ternakan ikan di kampung berkenaan mempunyai 220 petak sangkar dan ketika banjir tahun lalu mengakibatkan lebih 20 petak mengalami kerosakan termasuk 10 hingga 15 tan metrik ikan mati.

Katanya, kejadian tahun lalu menyebabkan penternak mengalami kerugian RM120,000 hingga RM180,000 termasuk kerosakan sangkar.

“Sejak kami mengusahakan ternakan ikan sangkar berkelompok pada 2000 ini, kejadian banjir pada 2014 menyebabkan kami mengalami kerugian paling teruk.

“Kita hanya merancang namun segalanya adalah perancangan Allah, kami hanya mampu berusaha bagi mengelak kerugian lebih besar setiap kali musim banjir.

“Pelbagai kaedah dilakukan termasuk mengikat sangkar pada cerucuk yang dipasang selain memperkemaskan sangkar tetapi ia tidak menjamin ketahanan sekiranya dirempuh balak hanyut yang boleh memusnahkan sangkar,” katanya.

Ketika ditemui di Program Gotong Royong Perdana di kawasan ternakan ikan sangkar berkelompok di kampung berkenaan, semalam.

Menurutnya, setiap tahun penternak berkelompok di kampung itu mampu memasarkan 240 tan metrik dan dianggarkan 12 tan metrik dapat dijual sebulan.

Katanya, penternak mampu meraih pendapatan RM500 hingga RM800 bagi satu petak sangkar manakala satu pusingan ikan diternak empat hingga lima bulan sebelum dijual.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri Zawawi Ali berkata, pihaknya menghulurkan bantuan seperti tali, sauh dan besi cerucuk bagi menguatkan struktur sangkar bagi menghadapi musim tengkujuh.

“Bantuan yang bakal diagihkan kepada penternak berkelompok di kampung itu dianggarkan berjumlah RM45,000 berikutan sangkar ikan di kawasan berkenaan paling berisiko mengalami kerosakan ketika banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 5:19 AM