Rohaimin mengetatkan ikatan tali bagi mengelakkan sangkar ikannya dihanyut arus deras. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Rohaimin mengetatkan ikatan tali bagi mengelakkan sangkar ikannya dihanyut arus deras. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: "Banjir kali ini dianggap luar biasa berikutan paras air Sungai Kelantan di Kampung Batu Lada naik mendadak setinggi lebih 24 meter (m) dan hampir menghanyutkan sangkar yang mengandungi lebih 10,000 ikan pelbagai spesies," kata Rohaimin Yusoff, 51.

Menurut Rohaimin, bagaimanapun, dia bernasib baik kerana melakukan persiapan awal dengan mengikat 15 sangkar ternakannya pada pokok di tebing sungai, selain menggunakan tali tambahan bagi mengurangkan impak sangkar ikannya dihanyutkan arus sungai yang deras ketika banjir.

Katanya, sangkar-sangkar itu mengandungi lebih 10,000 ikan jenis keli, baung dan tilapia yang sudah matang dan sedia untuk dijual kepada peniaga restoran dan pasar di sekitar Kuala Krai.

"Pada pagi Ahad lalu, paras air sungai naik mendadak selepas hujan lebat berterusan sejak beberapa hari. Bimbang ikan mati, saya juga akan memantau keadaan paras air setiap sejam sekali.

"Sekarang sudah masuk musim peralihan Monsun Timur Laut yang mengakibatkan banjir selain cuaca juga tidak menentu," katanya ketika ditemui di sangkar ikan miliknya, di Kampung Batu Lada, di sini, hari ini.

Rohaimin berkata, sangkar ikannya dibawa jauh sedikit dari tebing kerana apabila banjir, arus sungai akan menolak sangkar berkenaan ke arah tebing.

"Jika kedudukan sangkar terletak berhampiran tebing, kebarangkalian sangkar untuk hanyut ke darat amat tinggi dan ia menyukarkan saya untuk 'membawa turun' sangkar ini ke dalam sungai selepas tamatnya musim tengkujuh.

"Justeru, pada setiap masa saya perlu peka akan keadaan sungai bagi memantau pergerakan sangkar," katanya.

Katanya dia mula menternak ikan sangkar pada Januari 2021 bagi menambah perbelanjaan keluarga ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Bagi memulakan penternakan ikan sangkar, saya mengeluarkan modal RM10,000 untuk membina tujuh petak sangkar ikan termasuk kos membeli papan untuk dijadikan rangka sangkar, jaring dan tong plastik bagi mengapungkan sangkar.

"Menternak benih ikan agak mencabar kerana faktor alam semula jadi mampu memberi kesan kepada jumlah dan kualiti ternakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 8:29 AM