NORLIZAH Noh, mengulas persediaan banjir membabitkan 187 PPS negeri ini, hari ini. FOTO ihsan MEDKOM
NORLIZAH Noh, mengulas persediaan banjir membabitkan 187 PPS negeri ini, hari ini. FOTO ihsan MEDKOM
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Sebanyak 187 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan sekolah di negeri sudah bersedia sepenuhnya untuk diaktifkan sekiranya menerima isyarat bencana banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh, berkata semua Guru Besar dan Pengetua di 187 PPS berkenaan sudah dimaklumkan bagi membuat persediaan sewajarnya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, Johor membuat persiapan lebih rapi kali ini susulan bencana banjir besar yang melanda negeri ini tahun lalu.

"Johor dimaklumkan supaya bersiap-siaga bermula Disember ini hingga Januari nanti berikutan bencana banjir mungkin berlaku di beberapa daerah negeri ini.

"Oleh itu, Johor sudah mengadakan Mesyuarat Monsun Timur Laut (MTL) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebanyak tiga kali bersama pelbagai agensi sebagai persediaan kita menghadapi bencana banjir.

"Sebanyak 187 PPS membabitkan sekolah di negeri ini sudah bersedia sepenuhnya jika isyarat bencana banjir mula diaktifkan di kawasan terbabit.

"Malah sekolah-sekolah di kawasan berisiko banjir sudah diarahkan segera memindahkan kelengkapan, peralatan serta buku teks ke tingkat tinggi bagi mengelakkan ia rosak seperti yang berlaku ketika bencana banjir tahun lalu terutama di Segamat," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Norliza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, berkata Batu Pahat merekodkan jumlah sekolah sebagai PPS berdaftar tertinggi iaitu 73.

Katanya, ia diikuti Segamat sebanyak 25 buah sekolah, Kluang (22), Muar (16), Tangkak (15), Kota Tinggi (12), Mersing (7), Pontian (6), Kulai (5), Johor Bahru (4) dan Pasir Gudang (2).

Mengulas mengenai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menduduki peperiksaan itu bermula 5 Disember jika terjejas bencana banjir, Norliza berkata, calon berkenaan akan dipindahkan ke kawasan selamat bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan dengan tenang.

"Sekiranya bencana banjir berlaku dalam musim SPM, calon akan dipindahkan ke kawasan selamat menerusi Ops Payung yang akan diaktifkan.

"Johor tak berhasrat untuk menangguhkan SPM jika bencana banjir berlaku kerana ia rumit.

"Kita juga akan bekerjasama dengan agensi penyelamat dan penguatkuasa termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti tahun lalu bagi membantu mengambil calon SPM yang terperangkap serta tidak dapat keluar ke pusat peperiksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 12:36 PM