GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengesahkan tiada makmal di sekolah ditenggelami air, walaupun beberapa sekolah terpaksa ditutup disebabkan banjir.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan negeri (JPNT), Azman Othman @ Abdullah berkata, sebagai persiapan awal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pengurusan sekolah sudah mula memuat turun bahan Ujian Amali Sains (UAS).

Katanya, peperiksaan UAS membabitkan seramai 5,301 calon akan diadakan selama tiga hari mulai 5 Disember ini.

"JPNT menyediakan sebanyak 138 pusat peperiksaan membabitkan seramai 1,034 pengawas.

"Sekolah yang terbabit dengan penutupan disebabkan banjir masih mempunyai masa untuk membuat persiapan terutama memuat turun bahan UAS," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Azman yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan negeri berkata, pengurusan sekolah yang terbabit dengan penutupan disebabkan banjir mempunyai tempoh sehingga akhir bulan ini untuk membuat persediaan akhir.

Katanya, setakat ini, tiada makmal atau dewan peperiksaan yang ditenggelami air.

"JPNT akan sentiasa memantau situasi semasa, terutamanya banjir," katanya.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sejak bencana banjir melanda di negeri ini Ahad lalu, hanya 23 bangunan sekolah termasuk tiga sekolah menengah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 9:17 AM