DATUK Ahmad Yakob. FOTO Arkib NSTP.
DATUK Ahmad Yakob. FOTO Arkib NSTP.
Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Kelantan sudah mengenal pasti sekolah yang akan dijadikan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, semua sekolah itu berada di kawasan yang bebas banjir, dengan pemilihan dibuat hasil kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan pegawai daerah.

"Kita minta semua calon SPM yang terjejas banjir supaya bertenang kerana pihak berkuasa sudah mengambil tindakan untuk menyelamat, malah mengenal pasti kawasan yang tidak banjir.

"Pihak berkuasa melakukan yang terbaik untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada calon.

"Insya Allah dalam sehari atau dua hari lagi keadaan banjir di Kelantan semakin pulih, memandangkan hujan dan angin sudah tidak ada. Banjir berlaku kerana keadaan hujan yang tersangat lebat semalam dan kelmarin," katanya.

Terdahulu beliau menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lati, di sini yang menempatkan 164 mangsa.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Ditanya sama ada calon SPM akan ditempatkan di asrama sekolah untuk memudahkan mereka mengambil peperiksaan, Ahmad berkata, perkara itu diserahkan kepada JPN dan Jabatan Kesihatan Negeri untuk perbincangan lanjut.

Ini kerana katanya, ia membabitkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 5:06 PM