KEADAAN banjir terkini di bandar Kota Tinggi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
KEADAAN banjir terkini di bandar Kota Tinggi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Status 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkandas dan tidak hadir menduduki kertas peperiksaan mereka hari ini susulan banjir, akan ditentukan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norliza Noh, berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sudah menghantar laporan penuh berhubung insiden menimpa 89 calon SPM itu.

"Kita jangkakan 89 calon SPM yang terkandas itu perlu mengambil semula kertas peperiksaan yang tidak sempat mereka duduki kerana terjejas banjir.

"Namun KPM akan membuat pemakluman rasmi mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

"Kerajaan Johor sudah menempatkan 89 calon SPM itu di pusat pemindahan sementara sementara (PPS) berhampiran pusat peperiksaan mereka bagi memudahkan mereka mengambil baki kertas SPM," katanya ketika sidang media selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, di sini, hari ini.

Hari ini, seramai 89 calon SPM di negeri ini dilaporkan terkandas kerana banjir dan tidak hadir menduduki kertas peperiksaan mereka hari ini.

Semua 89 pelajar yang terkandas itu dilaporkan membabitkan lapan pusat peperiksaan iaitu tujuh di Segamat dan satu di Kulai.

Dalam pada itu, Norliza berkata, sebanyak 13 sekolah di negeri ini tidak dapat digunakan sebagai PPS berikutan dijadika pusat peperiksaan SPM.

"Oleh kerana peperiksaan SPM sedang berlangsung semua 13 sekolah tidak boleh digunakan sebagai PPS.

"Sebaliknya fasiliti awam berhampiran termasuk dewan serbaguna akan digunakan sebagai PPS supaya tumpuan calon SPM tidak terganggu," katanya.

Norliza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama berkata, tiada calon SPM terjejas banjir di daerah ini berikutan bantuan diberikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghantar calon terbabit ke pusat peperiksaan, pulang ke PPS atau kediaman mereka.

"Saya sangat berterima kasih kerana ATM menghantar aset mereka membabitkan trak selain anggota untuk memastikan calon SPM daerah ini dapat hadir ke pusat peperiksaan dan pulang ke PPS atau kediaman mereka dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 4:56 PM