Tinjauan hari pertama calon yang menduduki peperiksaan SPM kertas Bahasa Malaysia 1 di beberapa sekolah sekitar bandaraya Kuching, Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Tinjauan hari pertama calon yang menduduki peperiksaan SPM kertas Bahasa Malaysia 1 di beberapa sekolah sekitar bandaraya Kuching, Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tinggal di kawasan berisiko banjir diberi pilihan untuk tinggal di asrama sekolah atau rumah ahli keluarga berdekatan pusat peperiksaan berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Langkah itu dicadangkan sebagai persediaan untuk memastikan calon tidak menghadapi masalah untuk menghadiri peperiksaan jika kediaman mereka dilanda banjir.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa lokasi berisiko banjir berikutan cuaca buruk yang sedang melanda ketika ini.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku banjir ketika peperiksaan SPM yang bermula hari ini hingga 7 Mac.

"JPNS menubuhkan jawatankuasa pengurusan bencana bersama pelbagai agensi Persekutuan dan negeri sebagai langkah berjaga-jaga jika banjir melanda sepanjang tempoh peperiksaan SPM.

"Setakat ini tiada sekolah yang terjejas akibat banjir, tetapi kita harus menyediakan pelan tindakan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS), Jalan Sultan Tengah, Santubong, hari ini.

Azhar turut mengingatkan calon, ibu bapa atau penjaga supaya segera menghubungi JPNS atau Pejabat Pendidikan Daerah untuk sebarang pertanyaan atau bantuan.

Seramai 35,885 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2023 di 257 pusat peperiksaan seluruh negeri Sarawak.

JPNS melantik seramai 2,531 orang petugas peperiksaan bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan penting itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 1:04 PM