Ku Halimah Ku Jiwa memakai baju lebih tebal kerana cuaca sejuk ketika ini. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Ku Halimah Ku Jiwa memakai baju lebih tebal kerana cuaca sejuk ketika ini. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Kuala Kedah: "Setiap malam tak payah pasang kipas angin atau penyaman udara kerana memang sudah rasa sejuk luar biasa sampai susah nak tidur," kata Ku Halimah Ku Jiwa, 59.

Ku Halimah berkata, suasana sejuk itu dapat dirasai bermula jam 7 malam, sehingga ke awal pagi esok, sejak seminggu lalu.

Katanya, dia terpaksa memakai sarung kaki dan selimut tebal kerana kesejukan malah menggigil jika hendak mandi pada waktu malam.

"Bukan saya seorang malah penduduk kampung turut maklumkan perkara sama.

"Pada waktu siang, hujan renyai melanda namun pada waktu malam, terasa sejuk luar biasa," katanya ditemui di Kampung Tebengau, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Arisun Sharif, 59, berkata, cuaca sejuk yang melanda ketika ini menyebabkan dia sentiasa memakai baju tebal jika keluar rumah.

Katanya, cucunya yang masih bayi juga kerap menangis kerana sejuk walaupun pada waktu petang.

"Pada waktu malam, saya perlu mengenakan selimut berlapis-lapis kerana kesejukan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Kedah Muhammad Khalil Abd Aziz mengesahkan, cuaca sejuk yang melanda ketika ini diakibatkan oleh Monsun Timur Laut.

Bagaimanapun, suasana sejuk itu tidak seperti yang didakwa penduduk seperti di Cameron Highlands, Pahang.

"Suhu bacaan hari ini mencatatkan 24 darjah Celsius dan untuk sepanjang minggu ini, kita jangkakan sejuk pada bacaan seperti ini.

"Cuaca sejuk ini disebabkan sekarang ada luruan monsun dan wujud palung (through) yang mengunjur dari utara Semenanjung ke tengah Semenanjung merentasi laut China Selatan hingga ke utara Sarawak.

"Bukan saja Kuala Kedah, malah kebanyakan tempat di utara Semenanjung, pantai timur dan kawasan yang menerima luruan serta palung berkenaan turut mengalami keadaan cuaca sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 3:37 PM