Suhu yang direkodkan di depan Masjid Zahir, Alor Setar, pada 9.29 pagi. - Fot AMRAN HAMID
Suhu yang direkodkan di depan Masjid Zahir, Alor Setar, pada 9.29 pagi. - Fot AMRAN HAMID
Muhammad Mustakim Ramli dan Noorazura Abdul Rahman

FENOMENA angin sejuk dan lembab luar biasa yang melanda Kedah dan Perlis sekarang adalah tempias luruan angin akibat tekanan tinggi di China.

Tinjauan mendapati cuaca dingin dan angin agak kuat dirasai sejak beberapa hari lalu.

Semalam, Pengarah Meteorologi Kedah Rosli Zakaria dilapor berkata, cuaca sejuk itu berpunca daripada angiin bertekanan tinggi di China menyebabkan suhu di utara Kedah dan Perlis menurun.

“Suhu siang bermula 17 hingga 22 Disember ialah 33 darjah selsius, menurun kepada 27 darjah manakala bacaan suhu minimum yang biasanya pada awal pagi di kawasan Alor Setar antara 22.6 hingga 23.0 darjah selsius," katanya.

Peniaga pasar malam di Jitra, Noorhamisah Mohamad Abdullah, 35, berkata dia lima anaknya kini tidur menggunakan selimut.

“Anak saya berusia antara lima hingga 13 tahun jarang menggunakan selimut kecuali hujan, tapi sejak beberapa lalu, mereka perlukan selimut.

“Kipas angin pun tak perlu pasang, cukup gunakan ubat nyamuk bagi menghalaunya.

“Ketika pagi, sejuk terasa hingga ke tulang.

Katanya, angin sejuk dan kuat melanda setiap tahun itu dikenali sebagai angin timur, menandakan musim kemarau akan tiba.

Di Perlis, kakitangan kerajaan, Mohd Faisal Abu Hassan, 38, berkata cuaca dingin yang melanda negeri ini boleh dianggap luar biasa.

“Pagi Perlis sekarang berkabus. Sudah seminggu cuaca sejuk seperti ini.

“Paling ketara waktu malam, tidur pun tak perlu pasang kipas.

“Waktu siang walaupun panas, sesekali angin datang terasa sejuk juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 4:29 PM