ANTARA nelayan warga Myanmar yang ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM
ANTARA nelayan warga Myanmar yang ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuantan: Sebuah bot nelayan tempatan jenis pukat tunda kelas C dikendalikan lima nelayan warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang kerana tidak memiliki permit sah di kedudukan lebih kurang 18 batu nautika timur dari Nenasi, petang semalam.

Pengarah Maritim Pahang Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, pihaknya yang menjalankan rondaan Op Makmur menahan bot terbabit apabila mendapati ia bergerak dalam keadaan mencurigakan pada 1 tengah hari.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot berkenaan dikendalikan lima kru termasuk tekong bot yang juga warga Myanmar berusia lingkungan 23 hingga 44 tahun.

"Kesemua mereka gagal mempamerkan sebarang dokumen kelulusan penggunaan kru bukan warganegara di atas bot penangkapan ikan tempatan serta turut gagal mempamerkan pas lawatan kerja sementara.

"Bot dan kesemua kru termasuk tekong ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 700 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

"APMM mengingatkan komuniti maritim di perairan Pahang khasnya supaya menjauhi sebarang aktiviti jenayah dan tidak akan berkompromi terhadap perlanggaran yang menyalahi undang-undang serta akan terus memperkasakan penguatkuasaan dan membuat rondaan dengan melaksanakan pemeriksaan terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut bagi memastikan perairan Pahang aman dan sejahtera.

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 095717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 12:41 PM