LIMA kru warga Myanmar ditahan APMM Pulau Pinang di perairan Pulau Kendi atas pelbagai kesalahan. FOTO Ihsan APM
LIMA kru warga Myanmar ditahan APMM Pulau Pinang di perairan Pulau Kendi atas pelbagai kesalahan. FOTO Ihsan APM
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Lima kru warga Myanmar ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan negeri ini, semalam atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memasang alat pengesan vesel (VMS).

Selain itu, mereka juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan yang sah.

Pengarah APMM Pulau Pinang Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mereka ditahan dalam rondaan Op Pertiwi dan Op Tanjung pada kedudukan 27 batu nautika barat laut Pulau Kendi, di sini.

Menurutnya, bot nelayan kelas C itu dikesan ketika menangkap ikan menggunakan pukat tunda pada 8.55 pagi.

"Pemeriksaan mendapati ia dikendali tekong dan empat kru warga Myanmar berusia antara 20 hingga 35 tahun.

"Mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kelulusan penggunaan kru bukan warga tempatan yang sah," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Abd Razak berkata, pemilik bot juga disyaki melakukan kesalahan kerana membenarkan warga asing tinggal dalam bot kepunyaannya.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

"Bot serta kesemua kru ditahan, manakala 500 kilogram (kg) hasil laut yang dirampas dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 2:45 PM