24 kru warga asing yang ditahan di perairan Pahang. FOTO Ihsan APMM
24 kru warga asing yang ditahan di perairan Pahang. FOTO Ihsan APMM
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 24 orang nelayan dari Thailand dan kemboja ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di

perairan Kuala Endau Rompin, Rompin, semalam kerana melanggar syarat sah lesen.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, berkata bot serta kru terbabit ditahan kira-kira 4.6 batu nautika dari Kuala Endau Rompin pada jam 9.30 pagi.

Katanya, bot terbabit yang sedang bergerak menuju ke muara Sungai Endau, Rompin diperiksa sebelum ditahan oleh bot pemintas APMM yang sedang dalam rondaan Op Makmur di perairan Pahang.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu 15 kru disyaki menggunakan permit kerja yang tamat tempoh manakala sembilan kru termasuk tekong tidak memiliki

dokumen yang sah.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot itu mendapati dua kru termasuk tekong warga Thailand manakala 22 yang lain warga Kemboja berumur antara 21 dan 50 tahun," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bot dan 24 kru termasuk tekong ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin.

Katanya, turut ditahan ialah peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 4,000 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan selanjutnya.

"Dalam kes ini, APMM akan memperkasakan penguatkuasaan serta menggesa komuniti maritim terutama komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang.

"APMM juga mengingatkan komuniti maritim di perairan Pahang khasnya supaya menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah dan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 4:58 PM