EMPAT lelaki warga Myanmar termasuk seorang tekong ditahan APMM Selangor semalam. FOOT ihsan APMM Selangor
EMPAT lelaki warga Myanmar termasuk seorang tekong ditahan APMM Selangor semalam. FOOT ihsan APMM Selangor
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan empat lelaki warga Myanmar termasuk tekong kerana disyaki menangkap ikan secara haram di perairan Kuala Selangor, di sini, semalam.

Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, semua individu berusia 24 hingga 45 tahun ditahan ketika menaiki sebuah bot nelayan tempatan.

"Tangkapan dibuat kira-kira 27 batu nautika dari barat daya Kuala Selangor pada 3.30 petang semasa kami menjalankan rondaan rutin penguatkuasaan di sekitar perairan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Myanmar itu dikesan melanggar syarat sah lesen.

"Mereka melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan selain gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohammad Rosli berkata, pihaknya turut merampas hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat 400 kilogram.

Menurutnya, semua individu bersama bot dan hasil tangkapan ikan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

"APMM akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di sepanjang zon maritim negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 2:11 PM