APMM Selangor menahan sebuah bot pemancing di perairan Selangor. FOTO Ihsan APMM
APMM Selangor menahan sebuah bot pemancing di perairan Selangor. FOTO Ihsan APMM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Selangor: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot pemancing dan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C secara berasingan pada Selasa lalu.

Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, kedua-dua bot itu ditahan oleh KM Bagan Datuk ketika rondaan Op Ehsan, Op Benteng Laut dan Op Belangkas di perairan Selangor.

Menurutnya, bot pertama ditahan dibuat terhadap bot pemancing pada 2.15 petang di kedudukan 34.2 batu nautika barat Tanjung Karang.

"Ketika ditahan, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong berusia 44 tahun bersama 10 pemancing berusia 40 hingga 76 tahun yang kesemuanya adalah warga tempatan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot terbabit tidak mempunyai lesen pengoperasian yang sah serta tidak dilengkapi dengan peralatan komunikasi dan alat keselamatan seperti pemadam api," katanya dalam kenyataan hari ini.

Siva Kumar berkata, bot, tekong dan kesemua pemancing dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim APMM untuk disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

"Pada hari yang sama, penahanan bot kedua dibuat terhadap sebuah bot nelayan tempatan Kelas C pada kedudukan 34 batu nautika barat Tanjung Karang pada 2.50 petang.

"Hasil pemeriksaan awal, bot nelayan itu dikendalikan oleh seorang tekong serta dua kru dipercayai warga Indonesia dalam lingkungan usia 20 hingga 39 tahun," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap dokumen mendapati, bot itu melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan kerana bot itu didaftarkan di Hutan Melintang, Perak.

"Kesemua tekong dan kru yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.

"Bot serta kesemua kru ditahan dan dibawa ke jeti PPM, Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 3:46 PM