K SHIVA Lingaa didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas enam pertuduhan menipu
K SHIVA Lingaa didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas enam pertuduhan menipu
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pemilik syarikat teknologi maklumat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan menipu dengan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Ia bagi menuntut insentif di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja membabitkan nilai keseluruhan RM196,760.

K Shiva Lingaa, 30, pemilik sebuah syarikat teknologi maklumat, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas keenam-enam pertuduhan berkenaan selepas ia dibacakan di hadapan Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa menipu seorang kakitangan Perkeso Johor Bahru dengan mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja palsu bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja.

Ia membabitkan enam permohonan insentif Program Insentif Pengambilan Pekerja dengan nilai keseluruhan RM196,760, di mana senarai lapan pekerja yang dikemukakan tertuduh di dalam permohonan itu bukan pekerja syarikatnya.

Tindakan tertuduh itu didakwa dilakukan dengan niat hendak memperdayakan kakitangan Perkeso, sedangkan dokumen dikemukakan itu mengandungi butiran pekerja palsu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perkeso Johor Bahru, pada 30 Jun 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semua pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli dan Nur Mahirah Mohd Pauzi, manakala tertuduh diwakili Muhammad Faizzudin Abd Rafik.

Rais Adha memohon mahkamah mengenakan syarat termasuk jaminan sebanyak RM50,000, seorang penjamin warga tempatan selain pasport antarabangsa tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM15,000 kerana tertuduh perlu menanggung kedua ibu bapanya selain tidak pernah gagal hadir siasatan di Pejabat SPRM.

Hakim kemudian memerintah tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 dengan seorang warga tempatan.

Sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen pula ditetapkan pada 6 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 11:22 AM