Tertuduh dihadapkan ke mahkamah di Mahkamah Sesyen, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Tertuduh dihadapkan ke mahkamah di Mahkamah Sesyen, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Dua pengarah sebuah syarikat import eksport dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat tuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu berkaitan permohonan Insentif Pengambilan Pekerja Perkeso membabitkan jumlah RM62,120, dua tahun lalu.

Tertuduh, P Poowesna, 35, dan A Mohana Sundharam, 34, bagaimana mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Berdasarkan empat kertas pertuduhan itu, mereka didakwa mencapai niat bersama memberikan satu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan TMB Resources bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) keseluruhan berjumlah RM62,120 itu.

Mereka mengemukakan dokumen itu kepada pegawai Perkeso dengan niat hendak memperdayakan agensi itu yang mana mereka tahu dokumen berkenaan mengandungi pernyataan palsu mengenai nama pekerja baharu yang mana 10 penama dalam borang terbabit bukan pekerja syarikat berkenaan dan ia dibuat dengan maksud mengelirukan Perkeso.

Semua perbuatan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso di sini, pada 30 Mei 2021 dan mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh yang juga pasangan suami isteri yang dalam proses perceraian itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah yang terbabit atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli memaklumkan mahkamah bahawa perbuatan dilakukan kedua-dua tertuduh adalah di bawah kesalahan tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM40,000 bagi setiap tertuduh dengan dua syarat tambahan sekiranya dibenarkan mahkamah.

Peguam Mohd Salleh Tugimin yang mewakili Poowesna bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan tertuduh hanya bersedia membayar ikat jamin sebanyak RM5,000.

Manakala peguam Abd Rahim Ali yang mewakili Mohana Sundharam pula memaklumkan anak guamnya hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM8,000 kerana dengan berpendapatan RM5,800 sebulan dia menanggung kedua ibu bapanya dan seorang anak saudara.

Mahkamah kemudian membenarkan Poowesna diikat jamin RM5,000 dan Mohana Sundharam sebanyak RM8,000 masing-masing dengan seorang penjamin warga tempatan.

Kedua-dua tertuduh turut diarahkan melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali.

Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 14 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 1:31 PM