STEPHEN (bertopi) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan membuat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso. FOTO Mary Victoria Dass
STEPHEN (bertopi) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan membuat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang pemilik syarikat dihadapkan di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai lebih RM250,000 dua tahun lalu.

Tertuduh R Stephen, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim V M Mabelsheela.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberikan borang pengesahan pekerja program insentif pengambilan pekerja atas nama syarikat miliknya di bahagian perkhidmatan, Perkeso Johor Bahru pada 3 dan 6 Mei pada 2021.

Berdasarkan fakta kes, dokumen terbabit dihantar bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso berjumlah RM143,122 kepada ejen pertubuhan berkenaan.

Tertuduh didapati cuba memperdaya prinsipal dua Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Johor untuk mempercayai dokumen itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh membuat tuntutan palsu bernilai RM109,864 bagi Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso pada 7 Jun 2021.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM20,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam Amarpreet Singh Rajwinder Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 1:31 PM