Dua anggota SPRM mengiringi Mohd Yuzri (tengah) selepas dituduh atas kesalahan tuntutan palsu di Kompleks Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Dua anggota SPRM mengiringi Mohd Yuzri (tengah) selepas dituduh atas kesalahan tuntutan palsu di Kompleks Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif berjumlah RM231,340 menerusi Program Penjana Kerjaya 2.0, dua tahun lalu.

Bagaimanapun Mohd Yuzri Azhan Md Yusoff, 38, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan termasuk terhadap enam pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh sebagai pemilik syarikat Azhken Smart Global didakwa memberikan suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja kepada ejen Pertubuhan Kebajikan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah, melalui seorang wanita.

Tindakan itu didakwa dilakukan dengan niat hendak memperdayakan pegawai berkenaan sedangkan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen dikemukakan itu mengandungi butir matan palsu.

Keenam-enam pertuduhan itu menyebut, senarai 16 pekerja yang dinyatakan dalam Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja dikemukakan bukanlah pekerja Azhken Smart Global.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 Mei , 25 Jun , 4 Jun , 5 Ogos , 10 Ogos dan 21 Ogos 2021 di Pejabat Perkeso, Jalan Teluk Wan Jah, Kota Setar.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir palsu, jika butir palsu itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Semua pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Salizawaty Abdul Samad manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Aida Md Zainuddin.

Sementara itu bagi enam pertuduhan pilihan, tertuduh melalui wanita sama, didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikatnya bagi menuntut insentif sama.

Menerusi keenam-enam pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh dan lokasi sama membabitkan jumlah tuntutan sama.

Pihak pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibenarkan diikat jamin pada kadar RM60,000 untuk semua pertuduhan.

Nur Aida bagaimanapun berkata jumlah itu terlalu tinggi dan memohon agar mahkamah menetapkan kadar lebih rendah memandangkan akaun tertuduh turut dibekukan SPRM.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 untuk semua pertuduhan dan diarah melapor diri di Pejabat SPRM Perlis sebulan sekali

Hakim menetapkan 19 November depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Ends

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 4:14 PM