GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Penampang: Dua wanita ditahan selepas disyaki memperdaya mangsa dalam urusan jual beli tanah dan pinjaman wang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian RM92,200, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menahan ejen hartanah berusia 44 tahun itu selepas disyaki terbabit dalam urusan jual beli tanah lot tidak wujud.

"Mangsa menyerahkan sejumlah wang deposit tunai bernilai RM85,000 kepada suspek bagi urusan pembelian tanah lot.

"Namun, suspek membelanjakan wang itu untuk kegunaan peribadi tanpa membuat sebarang pembayaran kepada pemilik tanah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sammy berkata, pihaknya turut menahan wanita berusia 31 tahun disyaki terbabit dengan kes penipuan pinjaman wang tidak wujud.

Menurutnya, mangsa akan diperkenalkan kepada abang suspek untuk membuat pinjaman wang dan dibawa ke sebuah syarikat pinjaman wang.

"Suspek kemudian memperdaya mangsa kononnya abang suspek memukul individu yang menguruskan pinjaman wang berkenaan dan bertindak meminta sejumlah wang daripada mangsa bagi tujuan ikat jamin polis.

"Akibat terpedaya, mangsa mendepositkan wang berjumlah RM7,200 menerusi beberapa transaksi ke dalam akaun suspek," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek berjaya diberkas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 1:04 PM