GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Balik Pulau: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM14,547, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mereka masing-masing berusia 20 dan 51 tahun ditahan secara berasingan oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Barat Daya, pada Rabu lalu.

"Wanita berusia 20 tahun itu ditahan di Bayan Lepas susulan laporan polis dibuat mangsa dalam kejadian di Bayan Baru yang kerugian RM10,668 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam urusan pinjaman wang dalam talian yang tidak wujud.

"Lelaki itu pula ditahan di Bayan Lepas bersangkut laporan polis di Sungai Korok dan dia menjadi keldai akaun sindiket penipuan yang memperdaya dalam urusan pinjaman wang dalam talian yang tidak wujud, dalam kes terbabit mangsa kerugian RM3,859.50," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mereka direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 11:08 AM