GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Penampang: Polis menumpaskan Geng Jun Jun yang aktif mencuri motosikal dengan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Ketiau, Jalan Tembovo, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak atas maklumat dan risikan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menahan tiga lelaki yang terbabit dalam kes curi motosikal di sekitar Putatan.

Katanya, kumpulan curi motosikal ini dikenali sebagai 'Geng Jun Jun' dan aktif curi motosikal sejak hujung tahun lalu dan tahun ini.

"Terdapat empat kes curi motosikal bersabit dengan tiga suspek terbabit yang berusia 19 hingga 23 tahun.

"Susulan penahanan ketiga-tiga suspek, polis merampas semula tiga motosikal yang disyaki dicuri di sekitar daerah ini. Anggaran nilai rampasan adalah berjumlah RM30,000," katanya dalam sidang media, hari ini

Sammy berkata, usaha untuk mengesan baki motosikal curi masih giat dijalankan oleh pasukan polis.

"Secara keseluruhan, dengan tertangkapnya tiga suspek ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak lima kes curi motosikal di sekitar daerah ini.

"Hasil daripada ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah dan salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Sammy berkata pihaknya menahan empat lelaki terbabit kes curi kabel di daerah ini.

"Keempat-empat suspek ditahan dalam tiga serbuan berasingan oleh pasukan polis termasuk Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Penampang dan pasukan keselamatan Telekom Malaysia (TM) di tiga lokasi berasingan, pada 16, 20 dan 23 Januari lalu.

"Hasil tertangkapnya keempat-empat suspek ini, polis merampas beberapa gulung kabel jenis tembaga, batang kabel, peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kabel," katanya.

Menurutnya, nilai kerugian membabitkan tiga kes ini berjumlah RM95,000.

"Secara keseluruhan dengan kejayaan tiga siri tangkapan ini, polis IPD Penampang mengurangkan dan menyelesaikan kes-kes curi kabel di sekitar daerah ini.

"Kes disiasat mebgikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membencanakan kabel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 3:46 PM