Ali Iqbal

Batu Pahat: Seorang pemandu van pelancong dipenjara 14 tahun, denda RM65,000 serta 14 sebatan selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas 14 pertuduhan memperdaya mangsa membabitkan pembelian tanah rampasan kerajaan yang tidak wujud sejak 2017.

Mohd Firdaus Othman, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat sebaik semua pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, dia didakwa memperdayakan Robia'ah Atan, 63, untuk membantu mendapatkan lot tanah rampasan kerajaan menyebabkan mangsa membayar masing-masing sebanyak antara RM20,000, hingga RM36,000.

Ini menyebabkan mangsa kerugian sehingga RM199,000 kerana tanah yang ditawarkan oleh tertuduh sebenarnya tidak wujud.

Semua kejadian itu berlaku antara 13 September sehingga 23 Disember 2018 di Pejabat Tanah daerah Batu Pahat.

Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa memperdaya Mohd Noor Helmi Mohd sebanyak RM133,000 kononnya dia boleh membantu mangsa mendapatkan tanah rampasan kerajaan di beberapa kawasan di Parit Semarang, Parit Sumarto, Parit Rasipan dan Parit Bengkok dalam Mukim Sri Gading.

Mangsa membuat pembayaran kepada tertuduh namun pada 19 Disember 2018, mangsa membuat semakan di Pejabat Tanah daerah Batu Pahat dan mendapati tanah ditawarkan kepadanya juga tidak wujud.

Pertuduhan kelapan pula, dia didakwa menipu Mohd Khir Kassim untuk mendapatkan tanah rampasan kerajaan di Mukim Sri Gading, sekali gus mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM133,000 kepada tertuduh.

Kejadian ini berlaku antara Mac hingga Julai 2017, di Pejabat Tanah daerah Batu Pahat.

MOHD Firdaus dijatuhi hukuman penjara, sebatan dan denda di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas 14 pertuduhan menipu jual beli tanah sejak 2017. FOTO Ali Iqbal
MOHD Firdaus dijatuhi hukuman penjara, sebatan dan denda di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas 14 pertuduhan menipu jual beli tanah sejak 2017. FOTO Ali Iqbal

Selain itu, Mohd Firdaus juga berhadapan pertuduhan kesembilan dengan memperdayakan Nor Alazmi Shuib, 61, dengan tujuan sama hingga mendorong wanita itu menyerahkan RM26,900 kepada tertuduh. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara April hingga Julai 2017.

Bagi pertuduhan ke-10, dia turut memperdaya seorang lagi mangsa, Ali Darman, 63, menyebabkan pengadu menyerahkan RM140,000 kepadanya untuk mendapatkan tujuh lot tanah di Mukim Batu Pahat, Parit Raja dan Sri Gading. Perbuatan itu dilakukan pada 8 Disember 2018.

Pertuduhan ke-11 dan 12 pula, Mohd Firdaus memperdayakan Tukiman Salam, 73, masing-masing sebanyak RM96,300 dan RM16,170 untuk pembelian tanah perkuburan Masjid Al-Faizin di Parit Raja dan tanah lot di Kampung Parit Sameon.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari hingga November 2021.

Dua lagi pertuduhan terakhir Mohd Firdaus dituduh menipu Zalifah Mohd Tamlis, 48, dan Nurul Natasha Mohd Hair, 32, masing-masing sebanyak RM3,800 dan RM18,000 dengan kedua-duanya berlaku antara Mac dan November 2107.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman serentak dari tarikh dia ditahan 3 April 2023.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 8:03 PM