AL-SULTAN Abdullah berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Mohd Khalid (kiri). FOTO Bernama
AL-SULTAN Abdullah berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Mohd Khalid (kiri). FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Beliau mendahului senarai 299 penerima pingat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) 2023 sesi kedua, yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.

Sesi pertama istiadat berkenaan diadakan pada Selasa lalu.

Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah PGPP kepada Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Sahabudin Abd Manan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman Datuk Nerita Yaacob.

Selain itu, turut menerima darjah PGPP ialah Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Pada istiadat itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Pasukan Polis kepada 60 penerima, Darjah Pahlawan Pasukan Polis (87 penerima), Darjah Kesatria Pasukan Polis (15 penerima) dan Darjah Kebesaran Bentara Pasukan Polis (131 penerima).

Penganugerahan DKPP diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hadir sama ke istiadat itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 1:59 PM