ANGGOTA bomba membuat pemantauan di lokasi banjir kilat di Lorong Mak Piah, Sungai Tiram. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membuat pemantauan di lokasi banjir kilat di Lorong Mak Piah, Sungai Tiram. FOTO Ihsan Bomba
Omar Ahmad


Johor Bahru : Seramai 61 penduduk daripada 16 keluarga di Lorong Mak Piah, Sungai Tiram di sini, diselamatkan selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Mohd Faiz Ramli berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan banjir kilat pada 7.31 malam.

Katanya lapan anggota bersama sebuah jentera, EMRS dan bot Aluminium dihantar ke lokasi kejadian bagi tujuan menyelamat.

"Sebaik tiba didapati, berlaku banjir kilat setinggi satu meter di sekitar kawasan kampung itu, dan 61 mangsa dipindahkan ke Dewan Raya Sungai Tiram sebagai penempatan sementara malam ini dengan menggunakan satu unit bot Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram dan satu unit bot orang awam.

"Selain itu, 40 mangsa berpindah sendiri ke dewan, ketika ini hujan sudah berhenti," dalam kenyataan hari ini.

Mohd Faiz berkata, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 23 lelaki dewasa, wanita dewasa (20), lelaki warga emas (3), wanita warga emas (1), kanak-kanak perempuan (8), kanak-kanak lelaki (4) dan bayi lelaki (2).

"Jumlah keseluruhan mangsa di Dewan Raya Sungai Tiram seramai 101 orang dari 31 keluarga, pemantauan masih dijalankan di lokasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 12:19 AM