LOKASI di Ulu Tiram yang dilanda banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba
LOKASI di Ulu Tiram yang dilanda banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Penduduk di perkampungan Ladang Mados di Ulu Tiram di sini, yang terjejas akibat banjir kilat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), pada 5 petang hari ini.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Saifulbahri Safar berkata, empat rumah terjejas akibat banjir kilat itu dan tiga keluarga dipindahkan ke PPS di Dewan Sungai Tiram.

Menurutnya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya bertindak menyelamatkan mangsa dengan menggunakan bot sebelum memindahkan mereka ke PPS.

"Ketika anggota tiba ke tempat kejadian, mereka mendapati air naik sehingga satu meter.

"Kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram Azizul Bachok berkata, kedudukan perkampungan berkenaan bersebelahan dengan sungai menjadi punca ia dilanda banjir kilat apabila air sungai melimpah.

Beliau berkata, selain perkampungan berkenaan, laluan utama daripada Kota Tinggi ke Ulu Tiram berhampiran Today's Mall juga diancam banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 10:12 PM