Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Banjir kilat yang berlaku di Jalan Wong Ah Fook, di sini, bukan berpunca daripada limpahan air Sungai Segget.

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan kajian, pihaknya mendapati kejadian banjir kilat itu berpunca daripada saliran di Jalan Meldrum, di sini, yang tersumbat akibat pembuangan sampah dan sisa makanan.

“Aliran air di Sungai Segget lancar berikutan sistem tebatan banjir yang sudah berfungsi untuk menampung air pasang serta taburan hujan lebat," katanya yang memberitahu kawasan terjejas banjir kilat ditutup untuk laluan orang ramai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

IRDA berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk membersihkan kawasan sekitar pusat bandar.

"Sistem saliran juga perlu diperbaiki kerana jika ia tersumbat akan memberi kesan kepada projek Sungai Segget.

"Projek ini yang bermula pada 2013 sudah siap dan dibuka kepada orang awam pada Disember 2016," katanya.

Sehingga jam 7.55 malam tadi, pusat pemindahan sementara (PPS) di Balairaya Kampung Permatang, Kempas, masih lagi dibuka.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Johor Bahru berkata, pusat pemindahan itu kini menempatkan 13 keluarga terdiri daripada 67 mangsa.

"Mereka terdiri daripada seorang lelaki warga emas, dua wanita warga emas, lelaki dewasa (24), wanita dewasa (24), kanak-kanak lelaki (lima) dan kanak-kanak perempuan (10) serta seorang bayi lelaki.

"Jika tiada sebarang halangan, PPS dijangka tutup pada tengah hari esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 9:42 PM