DAUD berkata pihaknya bersyukur kerana pakej yang ditawarkan kepada Assifuah itu akhirnya dipersetujui. FOTO IZZALI ISMAIL
DAUD berkata pihaknya bersyukur kerana pakej yang ditawarkan kepada Assifuah itu akhirnya dipersetujui. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Kemasukan semula pemain import Ebenezer Assifuah ke dalam Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dianggap tepat dan bersesuaian dengan kemampuan pemain itu bagi mengukuhkan ruang serangan yang diperlukan Sang Kenari pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menurut pemilik Sang Kenari, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, kemasukan pada saat akhir Assifuah yang pernah beraksi dengan KDA FC B pada musim lalu itu bakal menjadi penyerang sokongan atau back up bagi mengukuhkan lagi kekuatan jentera serangan yang ada dalam pasukan pada musim ini.

"Sebagai pengurusan, kita melihat kecederaan mungkin boleh berlaku pada mana-mana pemain dan hanya bahagian penyerang sahaja yang belum ada back up dan ini mendorong kami mencari seorang pemain yang memiliki kualiti yang hampir sama dengan penyerang utama.

"Selain itu kami juga tidak mahu Syafiq Ahmad keseorangan jika penyerang utama tidak dapat beraksi dan perlu mencari pemain di posisi lain seperti Sony Norde untuk mengisi tugas penting di ruang serangan.

"Jadi kami mencari pemain yang sudah biasa dengan pasukan seperti Assifuah kerana jika kita ambil pemain baharu ia akan mengambil tempoh masa lebih lama untuk menjalin keserasian dalam pasukan," katanya.

Daud juga berkata pihaknya bersyukur kerana pakej yang ditawarkan kepada Assifuah itu akhirnya dipersetujui dan rundingan itu berakhir dengan persetujuan olehnya dalam tempoh 48 jam.

Dia juga agak terkejut dengan tawaran ini dan perlu menguruskan hal keluarganya sebelum datang kembali.

"Namun ketibaannya bukanlah sebelum perlawanan liga bermula, tetapi Dia dijangka akan sampai ke Kedah selepas perlawanan pertama Kedah dalam Liga Super nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 9:16 PM