Bomba menyelamatkan penduduk yang terjejas susulan banjir kilat di Kampung Laut, Batu 10, Skudai. FOTO IHSAN BOMBA JOHOR
Bomba menyelamatkan penduduk yang terjejas susulan banjir kilat di Kampung Laut, Batu 10, Skudai. FOTO IHSAN BOMBA JOHOR
Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: "Kami cemas apabila air deras masuk ke perkarangan rumah," kata Said Ahmad, 67, salah seorang daripada 16 penduduk Kampung Laut, Batu 10, Skudai di sini, yang terpaksa diselamatkan bomba selepas terperangkap dalam banjir kilat malam tadi.

Said berkata, dia dan isterinya terpaksa berlindung dalam van selepas rumahnya yang berada di kawasan rendah mula dinaiki air dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu.

Katanya, hujan berlaku kira-kira jam 7 malam dan tidak sampai sejam kemudian deras mula memasuki rumahnya.

"Saya terus membawa isteri berlindung di dalam van kami yang saya parkir berhampiran rumah. Mungkin kerana kawasan rumah rendah, air naik dengan cepat sehingga kira-kira satu meter.

"Mujur ketua kampung bersama bomba datang menyelamatkan kami. Memandangkan tiada pusat pemindahan sementara dibuka malam tadi, saya menelefon saudara saya dan bermalam di Kampung Pasir," katanya ketika dihubungi.

Kata Said, air mulai surut sejak pagi tadi dan dia pulang kira-kira jam jam 4 petang tadi untuk membersihkan rumahnya.

Terdahulu tindakan cekap anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai berjaya menyelamatkan 16 penduduk termasuk tiga warga emas terperangkap di kediaman masing-masing akibat banjir kilat di kampung berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, BBP Skudai menerima panggilan kecemasan banjir kilat menerusi talian pada 8.28 malam tadi.

Beliau berkata, sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebuah utiliti pacuan empat roda Hilux dan sebuah bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai dengan kekuatan 12 anggota ke lokasi kejadian.

Anggota bomba bertindak memindahkan mangsa yang terjejas dengan menggunakan bot ke kawasan yang lebih selamat sebelum mereka dihantar rumah saudara-mara tinggal berhampiran.

"Mangsa terdiri daripada dua perempuan warga emas, seorang lelaki warga emas, tiga wanita dewasa, empat lelaki dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

"Anggota bomba juga membuat pemantauan di kawasan sekitar dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 7:02 PM