ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa banjir. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa banjir. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Pasukan bomba menghadapi cabaran dan kesukaran ketika melakukan operasi menyelamat mangsa banjir kilat di daerah ini berikutan arus kuat dan paras air yang tinggi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd Jamil Md Daud berkata, banyak pasukan penyelamat hanya dapat masuk ke kawasan banjir selepas air surut dengan menggunakan bot masing-masing.

Beliau berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku semalam jarang berlaku di kawasan kampung yang terjejas dan kebanyakannya air melintas jalan.

"Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.28 malam membabitkan Kampung Cheruk Akar, Kuala Ketil dan sepasukan anggota dari BBP Baling tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Sebanyak lima rumah di kampung itu terjejas akibat banjir kilat.

"Kita berjaya menyelamat 21 mangsa yang membabitkan 10 wanita dewasa,

sembilan lelaki dewasa dan dua kanak-kanak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Jamil berkata, kesemua mereka dipindahkan ke Dewan Masjid Insaniah, Tawar.

Mohd Jamil berkata, selain itu anggotanya turut membantu memindahkan 11 mangsa daripada dua keluarga di Kampung Binjul Luar.

Media sebelum ini melaporkan Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang di Baling dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang berterusan sejak jam 6 petang semalam menyebabkan 102 mangsa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 10:09 AM