ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap di banjir kilat di Batu 10, Skudai malam tadi. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap di banjir kilat di Batu 10, Skudai malam tadi. FOTO Ihsan Bomba.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Cemas apabila 16 penduduk termasuk tiga warga emas terperangkap di kediaman masing-masing apabila diancam banjir kilat di Batu 10, Skudai di sini, malam tadi.

Bagaimanapun tindakan cekap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai berjaya menyelamatkan mereka yang terperangkap apabila air naik dianggarkan setinggi 1 meter.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, BBP Skudai menerima panggilan kecemasan banjir kilat menerusi talian pada 8.28 malam tadi.

Beliau berkata, sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebuah utiliti pacuan empat roda Hilux dan sebuah bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai dengan kekuatan 12 anggota ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba bertindak memindahkan mangsa yang terjejas dengan menggunakan bot ke kawasan yang lebih selamat sebelum mereka dihantar rumah saudara-mara tinggal berhampiran.

"Mangsa terdiri daripada dua perempuan warga emas, seorang lelaki warga emas, tiga wanita dewasa, empat lelaki dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

"Anggota bomba juga membuat pemantauan di kawasan sekitar dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini," katanya menerusi kenyataan media.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 10:36 AM