Keadaan banjir kilat di Kampung Langkap Dangi akibat hujan lebat tengah malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Keadaan banjir kilat di Kampung Langkap Dangi akibat hujan lebat tengah malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
BERNAMA

Kuala Pilah: Seorang penternak mengalami kerugian selepas 20 ekor kambing yang diternaknya mati dalam kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Air Taling, Johol pagi semalam akibat limpahan air Sungai Taling.

Amir Mohd Talib, 58, yang mengusahakan ternakan lembu dan kambing di atas ladang seluas 0.81 hektar sejak empat tahun lalu berkata, kejadian berkenaan merupakan yang terburuk pernah dialaminya dan telah menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM8,000.

"Hanya tinggal 32 ekor kambing dan 20 ekor lembu sahaja yang berjaya diselamatkan, kejadian hujan selama tiga jam bermula 1 pagi semalam menyebabkan kambing saya yang diletakkan di kandang berketinggian lapan kaki (2.44 meter) ditenggelami air setinggi 3.6 meter, menyebabkan 20 ekor mati lemas.

"Pada tiga minggu lepas, memang ada berlaku banjir kilat tetapi parasnya sekadar di bawah paras lutut, namun kejadian tadi amat mengejutkan saya dengan air yang naik begitu tinggi, sehingga menyebabkan kambing saya mati. Ini merupakan kerugian terburuk pernah saya alami," katanya.

Dalam kejadian banjir kilat berkenaan, kediaman atau ladang ternakan yang terletak di kawasan rendah menerima kesan yang buruk sehingga ada kediaman yang air banjir mencecah ke paras bumbung, dan menyebabkan 10 keluarga membabitkan 31 orang, dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Dangi, 8.30 pagi semalam.

Daripada jumlah berkenaan, 12 mangsa adalah lelaki dewasa dan 12 wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki serta lima kanak-kanak perempuan.

Kejadian banjir berkenaan turut mencemaskan Ma'aror Amat, 70, yang menetap di kampung itu sejak 20 tahun lalu, sebelum bantuan tiba.

Menceritakan detik kejadian itu, beliau berkata kediaman yang didiami bersama lima ahli keluarganya ditenggelami air setinggi 0.3 meter dan beliau hanya menyedarinya pada pukul 3 pagi setelah dikejutkan oleh cucunya.

"Sebelum ini kejadian seperti ini pernah berlaku iaitu kira-kira 10 tahun dahulu. Saya ketika kejadian memang berasa amat cemas dan keluar mencari tempat tinggi, sementara menunggu bomba untuk dibawa ke tempat selamat," katanya.

Bagi Azmi Zainal Abidin, 48, beliau turut mengalami kerugian yang dianggarkannya berjumlah kira-kira RM8,000 selepas semua kelengkapan rumah termasuk televisyen, perabot dan motosikal ditenggelami air setinggi dua meter, yang memenuhi kediamannya.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sembilan dalam kenyataan di sini memaklumkan selain kampung berkenaan, turut terjejas ialah tujuh kediaman di Kampung Orang Asli Langkap, Dangi, Jempol dan beberapa kawasan pejabat di Felda Bukit Rokan di daerah Tampin, akibat banjir kilat, namun tiada pemindahan mangsa dilakukan.

"Daripada pemantauan yang dilakukan, keadaan adalah terkawal dan air telah surut sepenuhnya di kawasan terlibat. Bagaimana pun di Jempol, paras air Sungai Jelai masih dalam keadaan tinggi ketika ini," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 8:38 AM