Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengakui bangunan terbiar yang didakwa berusia lebih 10 tahun berdekatan pangsapuri Bandar Tasik Kesuma adalah lokasi hotspot atau panas pembuangan sampah haram oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Pengarah Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, disebabkan itu pihaknya merancang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit bagi mengawal aktiviti ini tidak berlaku.

"Kami akan meletakkan CCTV selepas ini di kawasan itu, bermakna apabila berlakunya aktiviti yang mencurigakan, CCTV ini akan memberikan alarm kepada pasukan penguatkuasaan sampah haram kita.

"Dari situ, kita tahu pelakunya dan boleh ambil tindakan dengan kadar segera.

"Bila kita letak CCTV, orang di kawasan itu atau yang nak buat perkara yang tidak sepatutnya akan berhati-hati," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Harian Metro melaporkan keluhan penduduk mengenai bangunan terbiar yang didakwa berusia lebih 10 tahun berdekatan pangsapuri Bandar Tasik Kesuma, di sini yang mencetuskan kerisauan penduduk dan peniaga berhubung kegiatan atau aktiviti tidak bermoral.

Penduduk turut bimbang dengan tindakan segelintir individu yang menghisap dadah dan meminum arak di bangunan terbiar itu.

Kamarul Izlan berkata, pemasangan CCTV bukan hanya membabitkan kawasan itu, sebaliknya akan turut diletakkan di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot.

"Dalam perancangan sekarang (akan dipasang) lebih kurang 15 unit (CCTV) di seluruh kawasan MPKj. Salah satunya di tempat yang dibangkitkan," katanya.

Menurutnya, pada tahun ini MPKj berjaya 'menangkap' empat pelaku yang membuang sampah haram di kawasan itu.

"Orang yang buang sampah ini kita akan terus kompaun RM1,000. Kalau dia ada lori dan sebagainya, kita akan sita," katanya.

Kamarul Izlan juga memaklumkan kawasan itu diletakkan sebagai kawasan berjadual bagi tangkapan anjing liar.

"Dalam kawasan yang dilaporkan ini, memang ada dalam jadual kita tiap-tiap minggu. Kalau kita pergi, sekurang-kurangnya seekor atau dua ekor akan dapat (tangkap)," katanya.

Mengulas mengenai cadangan daripada penduduk dan peniaga yang mahukan bangunan terbiar itu dibangunkan, Kamarul Izlan berkata, ia di luar kawalan pihaknya.

"Berkaitan bangunan terbiar, ini di luar kawalan MPKj dan ada unit ini mempunyai pemiliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 6:40 AM