GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim dan Nurul Hidayah Bahaudin


MANGSA banjir membabitkan kira-kira 20 penduduk di Taman Muhibbah dan Taman Sri Jambu di Kajang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan itu dinaiki air semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kamarul Izlan Sulaiman berkata, pihaknya memberi fokus bantuan kepada penduduk di dua kawasan perumahan yang terjejas teruk itu.

"Dianggarkan antara 150 hingga 200 rumah di dua kawasan terbabit terjejas akibat banjir berkenaan yang mencecah hampir paras dada (lebih satu meter).

"Seramai 28 anggota MPKj menggunakan empat bot termasuk sebuah bot daripada pihak bomba untuk membawa keluar penduduk yang terperangkap.

"Mereka dibawa ke Dewan Orang Ramai Kampung Baru Sungai Chua dan Dewan Orang Ramai Taman Mesra yang dijadikan sebagai PPS sejak jam 9 malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Izlan berkata, hanya kira-kira 20 penduduk di dua kawasan terbabit yang berlindung di PPS terbabit memandangkan ada penduduk yang memilih tinggal di rumah saudara terdekat.

"Dua PPS itu ditutup kira-kira jam 12 tengah hari tadi selepas semua penduduk terbabit pulang ke rumah masing-masing untuk melakukan kerja pembersihan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang terbabit dengan kerja pembersihan pasca banjir di kawasan Pekan Kajang.

"Kerja pembersihan itu membabitkan bangunan awam termasuk tokong di Jalan Mendaling yang turut terjejas akibat banjir.

"Pada masa sama, kami turut bekerjasama dengan syarikat pengurusan sisa pepejal untuk menyediakan lori bagi membolehkan penduduk membuang barang yang rosak.

"Kami menjangkakan kerja pembersihan dilakukan oleh penduduk di kawasan terjejas akan mengambil masa selama dua hari," katanya.

Katanya, MPKj sentiasa bersedia terhadap kemungkinan berlaku semula banjir di kawasan terbabit memandangkan ketika ini sedang musim hujan.

"Kami ada bilik gerakan yang beroperasi 24 jam bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan ini di talian 1800886755 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 3:06 PM