Laluan ke Pasar Kajang ditutup bagi mengelak orang ramai ke kawasan itu dan (gambar kecil) mengenai notis penutupan pasar berkenaan. Foto Nurul Hidayah Bahaudin dan Ihsan Pembaca
Laluan ke Pasar Kajang ditutup bagi mengelak orang ramai ke kawasan itu dan (gambar kecil) mengenai notis penutupan pasar berkenaan. Foto Nurul Hidayah Bahaudin dan Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin

PENUTUPAN Pasar Kajang sejak semalam bertujuan untuk menjalankan proses sanitasi di kawasan berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kamarul Izlan Sulaiman berkata, pihaknya menjalankan proses sanitasi itu pada semalam dan hari ini.

"Pasar Kajang ditutup bagi membolehkan kami menjalankan proses sanitasi. Tempoh penutupan pasar ini belum dimuktamadkan lagi dan akan dimaklumkan kemudian.

"Pada masa sama, kami dengan kerjasama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membuat kawalan di kawasan itu untuk mengawal pergerakan orang awam ke pasar berkenaan dengan menutup beberapa laluan masuk," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarul berkata, pekerja dan penyewa di pasar berkenaan sudah menjalani ujian saringan Covid-19 kelmarin.

"Sehingga kini, kami masih menunggu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pengumuman mengenai keputusan ujian saringan berkenaan.

"Mengenai maklumat tular di media sosial yang mendakwa terdapat kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan itu yang mendorong penutupan pasar, ia adalah di luar kawalan kami.

"Nasihat kami kepada orang awam adalah pastikan semak maklumat diterima sebelum sebar dan tunggu pengumuman dibuat pihak berkaitan," katanya.

Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati beberapa laluan ke Pasar Kajang ditutup bagi mengelak kenderaan orang awam memasuki kawasan berkenaan.

Terdahulu, satu status serta gambar tular di media sosial dengan mendakwa pasar itu ditutup berikutan terdapat kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 12:34 PM