MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO Syaharim Abidin.
MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO Syaharim Abidin.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menepis dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad akan diberikan kuasa selepas dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata dakwaan lantikan itu akan membuka jalan untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi tidak timbul sama sekali.

Ini kerana katanya beliau tidak lagi mempunyai sebarang kuasa dalam kerajaan.

"Tun tak ada kuasa apa, tak ada jawatan apa, dia cuma nak bantu berdasarkan pengalaman dia oleh kerana dia ada pengalaman jadi Perdana Menteri begitu lama.

"Lagi pun dia ada rangkaian dan perhubungan yang bagus (dalam pelaburan), dia sanggup nak bantu apa salahnya, sesiapa yang ingin membantu kami, kami alu-alukan, ini termasuk PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan mesyuarat bersama Lembaga Pengarah, Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KPTC) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah.

Sanusi, yang juga Pengerusi PN negeri mengulas dakwaan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak bahawa langkah melantik Dr Mahathir sebagai penasihat bagi empat negeri yang dikuasai PN berkemungkinan mahu menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri semula.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata bahawa langkah untuk membentuk 'State-Government 4' (SG4) bukanlah untuk mencabar kuasa kerajaan Persekutuan dalam menarik pelaburan ke negeri-negeri pimpinan PN.

"Tidak, melawan apa bab ekonomi patut tak boleh ada sekatan-sekatan politik, kepentingan parti, ekonomi kena buka kena open. Kalau kita block ekonomi (kerana) politik itu merugikan," katanya.

Mengenai pertemuan tertutup Dr Mahathir bersama beliau dan Exco kerajaan negeri Kedah di sini semalam, Muhammad Sanusi berkata bekas perdana menteri itu memaklumkan bahawa ramai pelabur menghubungi beliau untuk menyatakan minat melabur di negara ini.

"Pelabur berpotensi dari Jepun, Korea Selatan, Timur Tengah telah menyatakan minat mereka untuk melabur seperti dalam sektor pelancongan Langkawi, pertanian dan lain-lain.

"Jadi Tun cadangkan kepada pelabur berpotensi untuk melabur di empat negeri ini," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Dr Mahathir juga menggesa empat negeri itu membangunkan sistem untuk mempercepatkan kelulusan permohonan pelaburan.

"Kedah ada Permit Pembinaan Ekspres atau E10, saya rasa di seluruh negara yang paling pantas membuat keputusan untuk meluluskan apa-apa permohonan tapak itu di Kedah dan kita dah beri taklimat kepada Dr Mahathir mengenai perkara ini.

"Memandangkan Kedah sudah mendapat banyak pelaburan, kita syorkan pelabur meneroka potensi pelaburan di tiga negeri lain terutamanya Kelantan dan Terengganu yang mempunyai tanah besar untuk pelaburan.

"Bagi Kedah, kita akan mengeksport kepakaran kita dalam pengurusan taman perindustrian ke tiga negeri itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 7:32 PM