MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi Md Nor. FOTO arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Pembangunan Fasa 4A dan 5 Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dijangka mampu membantu mengekalkan sasaran pelaburan RM10 bilion setahun di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kejayaan Kedah mencapai rekod pelaburan RM68.3 bilion pada tahun lalu, adalah sesuatu yang mengejutkan banyak pihak dan dilihat sukar diulangi pada masa hadapan.

Jelasnya, ini adalah sejajar dengan usaha kerajaan negeri mentransformasi Kedah daripada negeri berasas pertanian kepada berteraskan perindustrian yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.

"Mungkin selepas ini tak boleh capai RM60 billion ke atas, tetapi sasaran RM10 billion setahun diharap dapat dicapai. Selain itu, kita juga ambil beberapa langkah antaranya penyediaan dua fasa baharu KHTP iaitu Fasa 4A dan 5.

"Dua fasa ini sudah ada pihak yang menyatakan minat untuk melabur, malah pelabur sedia ada juga beri komitmen mahu memperluas kawasan industri mereka. Disebabkan itu saya yakin, angka pelaburan sebanyak RM10 billion pada 2022 dan tahun-tahun berikutnya bukanlah sesuatu yang mustahil dicapai," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14 yang dirasmikan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga dalam perancangan membuka satu lagi kawasan industri baharu di Gurun membabitkan tanah seluas lebih 400 hektar.

"Kedah akan berubah dengan bukan lagi bergelar negeri pertanian semata-mata, sebaliknya muncul sebagai negeri industri di utara tanah air. Di sini kita dapat melihat perkembangan baik di Zon Ekonomi Khas Sempadan Bukit Kayu Hitam, Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP) dan Bandar Getah Kedah (KRC) yang baharu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Semua ini akan melonjakkan Kedah sebagai kuasa industri baharu, cuma kita kena sediakan rakyat untuk menyambut pembangunan sektor industri melalui persediaan dari segi ilmu serta kemahiran bagi memenuhi keperluan industri," katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri menetapkan pemaju perlu menyediakan tapak pembinaan infrastruktur kemudahan jalur lebar, sebagai syarat tambahan kelulusan kebenaran merancang bagi setiap cadangan pembangunan baharu di negeri ini.

"Sama seperti kewajipan pemaju menyediakan sab stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kolam Indah Water Konsortium (IWK), pemaju juga perlu menyediakan tapak pembinaan infra struktur kemudahan jalur lebar bagi setiap pembangunan baharu sebagai syarat tambahan.

"Kita sudah putuskan perkara pada Mesyuarat EXCO minggu lalu, kerana dapat bantu kerajaan dan pihak berkaitan menyediakan kemudahan jalur lebar serta Internet lebih berkualiti kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 1:42 PM