HM Digital

PROSES penggubalan Akta Kredit Pengguna untuk melindungi kepentingan orang ramai dan menggalakkan pasaran kredit sihat kini berada di peringkat akhir.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya membuat pengumuman keputusan akhir penggubalan akta terbabit selepas memuktamadkan beberapa pilihan daripada data diperoleh.

“Kami di peringkat akhir dan selesai sesi libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk agensi pemberi kredit dan kawal selia.

“Pihak kementerian mengumpul dapatan dan mengenal pasti apa pilihan yang ada dan apabila proses ini siap kami buat pengumuman.

“Tetapi sasaran akhir ke arah hasilkan akta bagi melindungi khususnya pihak yang mengambil pinjaman,” katanya selepas merasmikan Festival InvestSmart 2019 di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Syed Zaid Albar.

SAIFUDDIN (dua dari kanan) melancarkan InvesSmart Fest 2019 di Mid Valley. FOTO BERNAMA
SAIFUDDIN (dua dari kanan) melancarkan InvesSmart Fest 2019 di Mid Valley. FOTO BERNAMA

Julai lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan menggubal Akta Kredit Pengguna untuk memastikan pengguna kredit menerima layanan adil ketika berurusan dengan pemberi kredit.

Sementara itu, Syed Zaid berkata, kebanyakan aduan diterima pihaknya tahun kebelakangan ini membabitkan aktiviti pelaburan tidak sah selain 40 peratus pertanyaan orang ramai terhadap skim penipuan terbabit.

“Perkembangan ini amat membimbangkan kerana statistik menunjukkan skim pelaburan tidak sah semakin berleluasa.

“Kami gesa orang ramai mencari maklumat dan panduan daripada sumber sah sebelum membuat keputusan melabur.

“Justeru itu, InvestSmart ini bertepatan dalam usaha memberi pendidikan kepada orang ramai mengenal pasti dan menilai peluang pelaburan dan cabarannya selain bertindak sebagai penyampai maklumat kepada pihak kami bagi membanteras penipuan atau salah laku,” katanya.

Lebih 50 organisasi terbabit mengambil bahagian dalam Festival InvestSmart 2019 bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap asas pelaburan dan menyediakan pelabur dengan pengetahuan serta membuat pertimbangan sewajarnya ketika membuat keputusan pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:45 AM