ANUAR
ANUAR
PELABUR perlu elak mengeluarkan agihan pendapatan tahunan untuk membayar ansuran bulanan.
PELABUR perlu elak mengeluarkan agihan pendapatan tahunan untuk membayar ansuran bulanan.
Hamizah Badiran


Pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah instrumen yang boleh dipilih orang ramai untuk membina tabungan yang kukuh melalui konsep meminjam untuk melabur.

Pembelian unit ASB menerusi kaedah ini harus ditunjangi dengan disiplin diri pelabur itu dan memastikan mereka mempunyai keupayaan membayar ansuran bulanan untuk tempoh jangka panjang.

Langkah ini bagi mengelak pelabur mengeluarkan agihan pendapatan tahunan yang diterima untuk membayar ansuran bulanan.

Setiausaha Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MPFC), Anuar Shuib berkata, kesilapan utama pelabur ialah terlalu bergantung kepada dividen atau bonus untuk membayar ansuran bulanan.

“Lalu, kita perlu bertanya untuk apa kita melabur? Apa matlamat utamanya?

“Mungkin mereka melabur untuk membuat tabungan bagi tujuan pendidikan anak, perkahwinan, pembelian aset seperti rumah dan persaraan.

“Justeru, kaedah menggunakan dividen tidak tepat kerana apabila mengeluarkan dividen tahunan, kita gagal untuk mengembangkan pelaburan dan akhirnya matlamat awal untuk menabung akan gagal.

“Oleh itu, sebelum membuat keputusan pinjaman ASB, mereka perlu memastikan mampu membayar ansuran bulanan menggunakan pendapatan bulanan,” katanya.

Beliau berkata, melabur semula agihan pendapatan faktor penting untuk mengembangkan pelaburan.

Dengan itu, faedah kuasa kompaun hanya berkesan jika mereka tidak mengeluarkan pelaburan untuk tempoh jangka panjang.

“Cuba bayangkan tiba-tiba pulangan ASB diterima lebih rendah berbanding kos pinjaman, apa akan terjadi jika terlalu bergantung kepada agihan pendapatan untuk membayar ansuran bulanan itu?

“Sebab itu mereka perlu mempunyai keupayaan membayar ansuran bulanan menggunakan pendapatan sendiri dan jika berlaku perkara di luar dugaan, mereka masih mampu melabur,” katanya.

Kemudahan Pinjaman ASB ditawarkan institusi perbankan seperti CIMB Bank, Maybank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membolehkan orang ramai menggunakan wang pinjaman bagi melabur dalam ASB atau ASB2.

Jumlah pinjaman maksimum ditawarkan sehingga RM200,000 bagi tempoh 30 tahun.

Katanya, pinjaman ASB boleh dijadikan pilihan untuk membantu pelabur melabur dengan konsisten pada setiap bulan.

“Ia lebih kepada kaedah simpanan paksaan kepada mereka yang sukar mendisiplinkan diri apabila melabur menggunakan wang sendiri.

“Sebaik-baiknya, pelabur perlu memperuntukkan 10 hingga 30 peratus daripada pendapatan untuk simpanan dan pelaburan selepas mengambil kira komitmen lain seperti bayaran ansuran rumah, kereta dan perbelanjaan harian,” katanya.

Panduan melabur

• Tetapkan matlamat pelaburan.

• Pastikan pinjaman dipohon tidak melebihi kemampuan.

• Elak gunakan dividen untuk bayaran bulanan pinjaman.

• Pinjaman dilindungi oleh takaful.

• Pinjaman ASB ditawarkan oleh Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, Bank Simpanan Nasional dan Affin Bank.

• Sebelum menentukan jumlah pinjaman, fikir matlamat jangka panjang dan keperluan sepanjang tempoh pinjaman. Katakan ketika ini anda masih bujang, kemampuan membayar ansuran bulanan berubah apabila berkahwin, mempunyai anak, dan membeli rumah.

• Ambil pinjaman berdasarkan kemampuan membayar ansuran bulanan. Mereka yang baru mula bekerja boleh mengambil pinjaman minimum RM10,000 selama 20 tahun dan hanya perlu membayar ansuran bulanan RM70 sebulan. Jumlah pinjaman boleh ditambah bergantung kepada pertambahan pendapatan bulanan.

• Elak guna agihan pendapatan/dividen tahunan untuk membayar ansuran bulanan. Ini kerana faedah kuasa kompaun akan mengembangkan modal pelaburan anda dengan pantas sekiranya agihan pendapatan/dividen tidak dikeluarkan.

• Sebelum meminjam untuk melabur, ambil tahu risiko perlu ditanggung seperti perubahan caj pinjaman dan perubahan jumlah dividen/agihan pendapatan tahunan.

• Membuat pinjaman ASB hanya satu alternatif pengurusan kewangan. Anda boleh melabur

secara terus dalam ASB secara tunai mengikut kemampuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 6:33 AM