Dr Mahathir hadir dan memberikan ucapan pada forum kemiskinan rakyat malaysia pasca pandemik anjuran (MTEM) Majlis Tindakan Ekonomi Melayu di Anjung Melayu, Jalan Bukit Petaling. FOTO GENES GULITAH
Dr Mahathir hadir dan memberikan ucapan pada forum kemiskinan rakyat malaysia pasca pandemik anjuran (MTEM) Majlis Tindakan Ekonomi Melayu di Anjung Melayu, Jalan Bukit Petaling. FOTO GENES GULITAH
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kemiskinan tidak hanya boleh ditangani dengan pemberian bantuan dan subsidi semata-mata, sebaliknya dengan produktiviti serta memperkenalkan cara menambah pendapatan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan juga boleh membuat atau menambah baik dasar yang dapat menangani jurang sosio ekonomi, kos sara hidup, membanteras rasuah dan tarikan pelaburan.

Katanya, dasar yang perlu ditekankan antaranya mengadakan lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negara serta kerajaan perlu memberi layanan baik terhadap pelabur yang datang ke negara ini.

"Lagi pula sekarang ini kita bersaing dengan negara Asean yang lain dan saya baru sahaja ke Indonesia, saya dapati di sana ramai pelabur yang berminat untuk melabur di Indonesia.

"Pertamanya kerana penduduk di sana berjumlah 270 juta sedangkan kita hanya 32 juta dan pasaran besar.

"Kos pengeluaran di sana juga lebih rendah, jadi untuk ini kita kena cari jalan supaya kos ini dapat diatasi oleh kerajaan.

"Maka saya yakin kalau dapat atasi perkara ini, ia dapat tarik pelabur asing termasuk menghapuskan rasuah, tetapi kita dapati tidak ada satu usaha yang kuat atasi masalah ini kerana rasuah masih ada.

"Selain itu, infrastrukur dan pentadbiran kita mesti cekap dalam menangani pelabur, kadangkala pelabur datang ke Malaysia nak jumpa dengan pegawai tak dapat, menteri pun tak dapat jauh sekali nak jumpa dengan perdana menteri.

"Tetapi jika layanan yang diberi kepada pelabur itu baik akan menyebabkan mereka melabur dengan kita.

"Oleh itu, banyak perkara yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan supaya Malaysia mampu menjadi satu daya tarikan pelaburan yang tinggi berbanding negara lain di sekitar Asean," katanya pada sidang media di Forum Kemiskinan Rakyat Malaysia Pasca Pandemik anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), di sini, hari ini.

Forum itu memperincikan isu kemiskinan mendadak menjelang fasa endemik khususnya yang dihadapi oleh kaum Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga perlu menyediakan banyak peluang pekerjaan serta mewujudkan industri bekalan baharu kepada pelabur supaya keperluan alat ganti dan komponen mereka dipenuhi.

Ditanya mengenai keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, beliau berkata, kenaikan gaji sahaja tidak cukup menangani kenaikan inflasi kerana ia dialami di seluruh dunia dan tidak mungkin untuk Malaysia tidak menghadapinya.

"Contohnya jika gaji dinaikkan 10 peratus dan itu akan menyebabkan kos pembuatan barangan yang ingin dibeli juga meningkat hampir atau lebih 10 peratus.

"Jadi apabila kita menaikkan gaji tanpa mengambil kira kenaikan kos operasi, maka kita akan menghadapi inflasi daripada kenaikan gaji itu," katanya.

Mengulas mengenai kemiskinan, Dr Mahathir berkata, kemiskinan memang membabitkan semua kaum tetapi lebih serius dalam masyarakat Melayu sehingga pada masa sekarang mereka terpaksa menjual harta dimiliki termasuk tanah dan mungkin kelak, Tanah Melayu hanya tinggal nama.

"Masalah kemiskinan menjadi begitu besar terutama ketika pandemik Covid-19 hingga kehilangan punca pendapatan dan terpaksa bergantung kepada kerajaan serta pihak lain.

"Justeru, isu kemiskinan perlu ditangani dengan baik kerana kita tidak mahu faktor ini menjadi jurang sangat jauh dan menimbulkan kembali rusuhan atas sebab tidak berpuas hati dan orang Melayu perlu mengambil pengajaran apa yang dilakukan British sebelum kemerdekaan dahulu sama ada mahu terus miskin atau kaya.

"Untuk menjadi kaya, tidak ada cara yang lain selain kita masuk bidang perniagaan," katanya.

Menurutnya, sejak dahulu lagi semasa masih kanak-kanak, beliau lihat ramai orang asing datang ke Malaysia kerana mereka nampak negara ini tempat yang mempunyai banyak peluang pekerjaan dan berniaga.

"Pada masa itu, penduduk Melayu miskin, pendatang dari negara lain juga miskin, tetapi orang Melayu masih terus miskin secara relatif, sebaliknya rakan yang datang dari negara asing sudah maju jauh ke hadapan kerana mereka nampak peluang untuk berniaga di Malaysia.

"Dan hari ini, tidak ada anak atau cucu kepada pekerja buruh yang datang ke Malaysia bekerja sebagai buruh atau bekerja berat sebaliknya mereka ada yang sudah sampai tahap menjadi jutawan.

"Orang Melayu lebih senang melihat orang asing datang ke Malaysia dan merebut peluang yang ada kerana minat kita kurang, jadi sifat yang ada pada kita menentukan sama ada kita akan berjaya atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 3:21 PM