GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sudah ada 727 kes keganasan rumah tangga dilapor di Selangor, kata Timbalan Ketua Polis negeri, S Sasikala Devi.

Menurutnya, kes bagi Januari hingga Julai lalu itu membabitkan mangsa berusia antara 26 hingga 45 tahun dengan kebanyakannya adalah suri rumah.

Katanya, tahun lalu, pihaknya menerima 1,285 kes, manakala 1,751 kes dilapor pada 2021 iaitu peningkatan 402 kes berbanding 1,349 kes pada 2020.

"Punca kes mungkin perselisihan faham dalam keluarga sehingga mereka membuat laporan polis.

"Selain suri rumah, golongan profesional serta berpelajaran turut menjadi mangsa kes keganasan rumah tangga dan ada kemungkinan segelintir mangsa tidak tampil membuat laporan polis," katanya dalam Bicara Khas di SELANGORfm 100.9, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sasikala Devi berkata, keganasan rumah tangga terdiri daripada pelbagai kategori, antaranya penderaan fizikal, emosi dan seksual selain ugutan.

"Kita boleh lihat kecederaan pada badan mangsa seperti kesan ditumbuk, tampar, cekik atau melemparkan objek kepada mangsa.

"Bagi penderaan fizikal ini lebih memudahkan untuk kita mendapatkan bukti serta keterangan mangsa, termasuk laporan daripada doktor," katanya.

Menurutnya, melemparkan kata-kata kesat yang mengaibkan atau menjatuhkan maruah individu pula yang memberi kesan terhadap emosi mangsa juga boleh dianggap penderaan.

Sasikala berkata, penderaan seksual pula adalah perbuatan seksual tanpa kerelaan mangsa atau melakukan seks yang tidak selamat.

"Selain itu, perbuatan atau tindakan seperti menahan atau mengurung mangsa serta percakapan berbentuk ugutan yang menyebabkan ketakutan terhadap diri mangsa juga boleh dianggap sebagai penderaan," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa menganggap kes keganasan rumah tangga sebagai isu peribadi dan tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan.

"Mangsa mungkin tidak berupaya untuk keluar bagi mendapatkan bantuan, mereka perlu mendapatkan pertolongan daripada orang terdekat atau individu yang dipercayai.

"Mangsa boleh mencari individu yang boleh dipercayai seperti kawan karib, ahli keluarga lain atau ibu bapa untuk menceritakan apa yang sedang berlaku," katanya.

Katanya, mangsa juga boleh mendapatkan bantuan kaunseling daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau menghubungi Talian Kasih 15999 selain mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Ia boleh menghalang pelaku melakukan keganasan ke atas mangsa, buat sementara waktu dalam tempoh tujuh hari.

"Selepas mangsa membuat laporan polis, mangsa boleh mendapatkan perintah lain seperti Perintah Perlindungan Interim (IPO)," katanya yang memberitahu siasatan kes itu mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Menurutnya, polis turut menyiasat kes berunsur ugutan atau khianat terhadap harta mangsa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 5:44 PM