GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


SEBANYAK 353 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu hingga Rabu lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Superintendan Siti Kamsiah Hassan berkata, kes itu direkodkan dalam tempoh 29 hari PKP dilaksanakan, namun ia menunjukkan penurunan sebanyak 55 kes berbanding tempoh sama sebelum PKP.

Menurutnya, sebelum PKP bermula dari 18 Februari hingga 17 Mac lalu, polis menerima laporan sebanyak 408 kes keganasan rumah tangga.

“Kejadian kes keganasan rumah disebabkan pelbagai punca perbalahan antara pasangan seperti cemburu, selisih faham berkaitan hal kecil, masalah duit dan suami penagih dadah.

“Selain itu, mereka bergaduh disebabkan berebut hak penjagaan dan mabuk apabila kebanyakan mereka yang terbabit dalam keganasan rumah tangga ini secara keseluruhannya memang sudah bertelagah lama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Siti Kamsiah berkata, laporan polis dibuat selepas mangsa tidak tahan dengan sikap pelaku atau mungkin pada hari kejadian mangsa dipukul lebih teruk berbanding sebelumnya.

“Segelintir sahaja kes bukan kerana isu berlarutan seperti minum minuman keras bersama-sama, namun apabila sudah mabuk hilang kawalan sehingga berlaku kejadian memukul dan masing-masing hilang kawalan.

“Bukan kerana PKP mereka bergaduh, tetapi atas isu atau permasalahan sedia ada dan berlarutan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan sebanyak 135 panggilan berhubung kes keganasan rumah tangga (KRT) direkodkan melalui Talian Kasih di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan itu Polis Diraja Malaysia dan KPWKM ingin meminta orang ramai terutama jiran tampil dan melaporkan kes keganasan rumah tangga melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp ke talian 019-261 5999.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan


    /center>

  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 12:03 PM