TANGKAP layar video menunjukkan empat kenderaan terbabit dalam kemalangan di Jalan Lebuh Puteri, Serdang, yang tular di media sosial sejak semalam.
TANGKAP layar video menunjukkan empat kenderaan terbabit dalam kemalangan di Jalan Lebuh Puteri, Serdang, yang tular di media sosial sejak semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Tindakan pemandu kereta keluar simpang secara tiba-tiba menyebabkan kemalangan dengan tiga lagi kenderaan dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di Jalan Lebuh Puteri di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.40 pagi.

Menurutnya, siasatan awal dilakukan mendapati kemalangan itu berlaku ketika sebuah lori dari arah Lebuh Puteri menghala ke KPMC Puchong.

"Sebaik tiba di simpang empat itu, lori berkenaan yang meneruskan perjalanan berikutan lampu hijau terlanggar sebuah kereta yang keluar dari simpang di sebelah kanan secara tiba-tiba.

"Akibat kemalangan itu, lori terbabit terbabas ke sebelah kiri jalan sehingga terlanggar dua kereta masing-masing Honda City dan Toyota Altis yang parkir di kawasan itu.

"Kereta Honda City yang keluar simpang secara tiba-tiba itu pula terbabas ke kanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dialami oleh semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu.

"Siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan mengikut Peraturan 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 17 LN 166/59).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mohd Remy Nordin di talian 019-5282256 bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 14 saat menunjukkan empat kenderaan terbabit dalam kemalangan itu tular di media sosial sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 3:43 PM