TIGA kenderaan   motosikal, lori dan kereta  terbabit kemalangan di Jalan Bukit Rambai, semalam.
TIGA kenderaan motosikal, lori dan kereta terbabit kemalangan di Jalan Bukit Rambai, semalam.

Melaka: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal, lori dan kereta di Jalan Bukit Rambai berhampiran Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, difahamkan mangsa Rezuan Mohd Ali, 69, pengawal keselamatan kilang berhampiran dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas tamat syif berkerja sebelum terbabit kemalangan.

Menurut sumber, kemalangan itu berlaku berhampiran persimpangan jalan simpang tiga di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai sejurus lori dipandu lelaki berusia 42 tahun menghala Tangga Batu dan Bukit Rambai tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss dan kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 34 tahun keluar dari simpang terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, dipercayai pemandu lori terbabit cuba mengelak, namun mangsa yang menunggang motosikal tetap terlanggar tayar belakang lori terbabit, sebelum kereta Proton Wira terlanggar motosikal mangsa yang rebah.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Melaka mendapati kematian mangsa akibat kecederaan pada kepala.

“Kita menahan ketiga-tiga kenderaan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sambil mengesahkan pemandu kereta dan lori tidak cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 5:55 AM