KEADAAN kenderaan yang terbabit nahas. FOTO ihsan bomba
KEADAAN kenderaan yang terbabit nahas. FOTO ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA lelaki maut, manakala empat lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2.8 Lebuhraya Besraya, berhampiran stesen komuter Serdang kira-kira jam 6 petang, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7 malam sebelum sembilan anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kereta, sebuah lori muatan simen, sebuah van dan sebuah motosikal.

"Kemalangan berlaku apabila lori muatan simen terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar lima kenderaan lain.

"Dua pemandu kereta Honda HRV dan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala empat lagi mangsa cedera," katanya.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

"Mayat dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 11:42 PM