FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Sekinchan: Kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan kepada RM500 per tan mulai hari ini seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat golongan petani sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Perpaduan kepada mereka.

Seorang petani di Selangor, Jamaludin Hamsan, 44, bersyukur dengan inisiatif kerajaan itu kerana ia sedikit sebanyak dapat membantunya memandangkan hasil padi yang dikeluarkan tidak menentu.

"Apabila hasilnya tidak menentu, untungnya juga tidak akan besar. Selain itu, semua kos meningkat termasuklah sewa jentera juga semakin tinggi, bukan semua pesawah mampu memiliki jentera sendiri (mesin padi) sebab harganya mahal, sewa adalah jalan yang ada," katanya tadi.

Bagaimanapun dia berharap pertambahan kadar subsidi itu tidak mendorong pihak tertentu untuk mengambil kesempatan dengan menaikkan harga keperluan petani seperti racun dan baja.

"Saya juga memohon pihak-pihak berwajib sentiasa memantau pasaran supaya tidak ada mereka yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga racun, upah dan sewaan jentera," katanya.

Seorang lagi pesawah, Saipo Bahri Sahlan, 62, berkata, pengumuman Perdana Menteri itu sememangnya tepat pada masanya kerana ketika ini pesawah sedang terkesan dengan kenaikan harga bahan input pertanian seperti baja dan racun.

Katanya, dengan pengumuman berkenaan, ia mampu menambah pendapatan pesawah antara 10 hingga 15 peratus.

"Terima kasih Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana prihatin dengan nasib petani di seluruh negara. Ia (subsidi) membantu meringankan perbelanjaan kami, PM mendengar keluhan kami.

"Pendapatan kami ini mengikut musim, sekurang-kurangnya bolehlah beli racun atau perbelanjaan keluarga," katanya ketika ditemui di Tanjong Karang.

Senada dengan Saipo Bahri, Tan Hong Nin, 57, berkata, inisiatif itu sangat diperlukan kerana keuntungan yang diperoleh hasil tanaman padi tidaklah sebanyak mana.

"Bantuan ini memang sangat diperlukan pesawah kerana kos untuk mengerjakan sawah padi itu sendiri sudah tinggi. Ia termasuklah bagi menyewa mesin padi, traktor, bayar upah racun dan kos-kos lain.

"Bukan nak cakap rugi, tapi keuntungan yang diperoleh tidak sebanyak mana. Ia bergantung kepada (penghasilan) padi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 1:37 PM