Raja Noraina Raja Rahim dan Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Masalah rakyat, pesawah dan petani adalah masalah kerajaan. Kita tidak akan biarkan beban itu ditanggung mereka saja, InsyaAllah kita akan bantu," kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian susulan kenaikan mendadak harga baja dan racun membabitkan industri padi dan tanaman yang menyebabkan golongan terbabit menanggung bebanan serta peningkatan kos tinggi.

Menurutnya, perkara itu sudah dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Kabinet semalam.

"Kerajaan menyedari isu dihadapi pesawah seluruh negara akibat kenaikan harga baja dan racun. Kita faham kenaikan itu meningkatkan kos mereka.

"Kerajaan tidak akan berdiam diri dan terus membiarkan pesawah terbiar. Saya sudah arahkan Kementerian Kewangan melihat perkara ini dan menyelesaikannya supaya bantuan lain diberikan untuk mengurangkan bebanan mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Sekinchan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Ismail Sabri berkata, kenaikan harga baja dan racun tidak dapat dielakkan kerana kesan kenaikan harga pasaran antarabangsa.

Katanya, kebanyakan baja dan racun adalah diimport walaupun ada syarikat tempatan termasuk koperasi terbabit dalam industri itu.

"Ini kerana bahan mentah masih diimport. Jika mahal harga bahan mentah dari negara pengeluar, maka mahal harga import dan beri kesan kepada negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 12:02 PM
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Padi Asas dan Tapak Penyelidikan Padi, Sungai Leman, Sekinchan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Padi Asas dan Tapak Penyelidikan Padi, Sungai Leman, Sekinchan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali