TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular
TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seorang model wanita mengamuk dan menghambur kata-kata kesat kepada polis selepas tidak berpuas hati disaman atas kesalahan memandu menggunakan alat komunikasi dan tidak memakai tali pinggang ketika memandu di Jalan TunSambanthan, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menyedari satu klip video di aplikasi Tiktok semalam memaparkan perbuatan wanita terbabit yang melakukan provokasi dan menjerit kata-kata kesat kepada dua anggota polis yang sedang bertugas.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek berusia 30-an tidak puas hati kerana disaman dengan kesalahan memandu menggunakan alat komunikasi dan tidak memakai tali pinggang semasa memandu.

"Kejadian provokasi terbabit dikatakan berlaku pada 3.40 petang Isnin lalu dan sehingga kini, video terbabit masih boleh diakses serta mempunyai 274 perkongsian di Facebook dan 5,414 perkongsian di Tiktok dan dikhuatiri boleh menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugasnya, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebarang maklumat jenayah boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 4:29 PM