LELAKI berusia 27 tahun ditahan selepas memaki hamun polis kerana tidak berpuas hati disaman semasa Ops Kenderaan Perdagangan di Jalan Pinang Tunggal, Sungai Petani, baru-baru ini. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI berusia 27 tahun ditahan selepas memaki hamun polis kerana tidak berpuas hati disaman semasa Ops Kenderaan Perdagangan di Jalan Pinang Tunggal, Sungai Petani, baru-baru ini. FOTO Ihsan PDRM
Noorazura Abdul Rahman


TUKANG masak ditahan akibat memaki hamun anggota trafik kerana tidak berpuas hati selepas disaman dalam Ops Kenderaan Perdagangan di Jalan Pinang Tunggal, Sungai Petani, yang bermula sejak 1 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, dalam kejadian semasa operasi yang dilaksanakan pada 7 Oktober, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan setelah didapati menulis perkataan berbaur kesat dan lucah di bahagian yang perlu ditanda tangan pada notis saman yang dikeluarkan.

Anggota polis menahan lelaki berkenaan selepas didapati tidak memakai tali pinggang keledar semasa memandu kereta Perodua Axia miliknya.

“Anggota trafik yang bertugas meminta penjelasan dari tujuan perbuatan suspek itu, namun lelaki terbabit terus meluahkan kata kesat yang lain pula pada anggota polis itu.

“Anggota berkenaan kemudian menghubungi pegawai bertugas untuk mendapatkan arahan menangkap lelaki terbabit yang mana suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

“Saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis MOP dan kemudian ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Katanya, suspek direman dua hari mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam pada itu, Seong Lim berkata, dalam operasi selama 19 hari yang berakhir kelmarin itu, polis sudah mengeluarkan 566 saman atas pelbagai kesalahan.

Katanya, antara kesalahan itu adalah tidak memiliki lesen, cukai jalan tamat tempoh, membawa muatan bahaya, menggunakan tayar botak atau tiada bunga keselamatan, dan pelbagai lagi kesalahan lain.

“Dalam tempoh itu sebanyak 52 operasi bersepadu turut dilakukan di seluruh Kedah dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Untuk rekod statistik, pada enam bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan kemalangan jalan raya yang membabitkan kenderaan perdagangan iaitu 528 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 435 kes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 4:35 PM